Thursday 13 December 2012

Ujian, Kifarah dan Azab



Hidup seharian kita ni malah di sepanjang kehidupan, tidak semua yang kita mahukan kita perolehi. Tidak semua pula yang kita perolehi tidak berhak diambil semula oleh yang Maha Mencipta dan Maha Memberi. Kehidupan kita sentiasa berlegar sekitarnya Ujian, Kifarah dan Azab.

UJIAN…

Ya Allah, beratnya UjianMu..
            
          Bersabarlah dan tetap dengan kesabaran itu ketika berhadapan dengan ujian Allah. Belajar untuk redha dan menerima kenyataan. Apakah ciri redha itu? Sudah tentulah dengan tidak mengeluh, positif dan terbuka, cuba keluar dari krisis dan mencari penyelesaian dengan pengharapan taufiq dan hidayah Allah. Bukankah setiap ujian yang diberikan sebagai tanda Allah sentiasa memerhatikan kita? Dan bukankah sepanjang hidup kita ini mahukan  perhatian dan pandangan rahmat dariNya? Kadang-kadang kita rasa hidup kitalah yang paling teruk, paling susah sedangkan jika kita memandang sedikit ke bawah, lebih ramai dan lebih hebat lagi ujian kesusahan yang menimpa orang lain berbanding kita. Sesekali Allah bagi sakit kepala penuh koyop ditampal nak tunjuk peningnya kita ye. Jarang orang yang sakit ni merasakan betapa pengampunan Allah begitu tidak terbatas sepanjang kita bersabar dengan ujian kesakitan yang diberi. Paling-paling, perkara pertama yang dicari adalah ubat dan doktor terbaik, betul tak?

“Ellehh.. senangla cakap..sabar..sabar..sabar. Tak kena batang hidung sendiri…”

            Begitulah suara-suara yang terdengar tatkala kita menyuarakan kesabaran. Bukankah dalam surah Al Asr Allah berfirman agar kita sentiasa berpesan dengan kesabaran?  Sesungguhnya orang yang sabar itu dicukupkan pahalanya tanpa batas seperti firman Allah dalam surah AzZumar?

            Jika kecemerlangan duniawi diukur melalui indikatornya, ISO, KPI dan segala macam alat, fungsi dan sistem..begitu juga dengan kecemerlangan akhirat. Diukur melalui sejauh mana kita melepasi ujian demi ujian yang dihadapi. Bukan sekadar melepasi bahkan terus, tetap dan sentiasa bersyukur, redha dan menerima.

KIFARAH..

            Kifarah pula adalah balasan Allah di dunia akibat dosa yang dilakukan oleh hamba-hambanya. Ia seakan satu ‘penebusan’ dan salah satu ujian dalam kehidupan yang mungkin melibatkan kematian, penyakit, kehilangan harta dan sebagainya bergantung kepada ketentuan qadha’ Ilahi. Saidatina Aishah ada berkata, bahawa baginda Rasulullah ada bersabda yang bermaksud:

“Tidak menimpa ke atas seorang mukmin satu kecelakaan, biarpun duri,ataupun  lebih daripada itu, melainkan Allah akan menggugurkan dengannya satu dosa.    
(Maksud hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Bila ditimpa sesuatu musibah, ia bukanlah bermakna Allah benci tetapi  Allah sebenarnya sedang mengangkat martabat hambaNya  ke maqam ditetapkan. Untuk membolehkan hamba tersebut sampai ke maqam tertentu, Allah akan mengujinya dan diberinya pula kesabaran agar kita sampai dan berjaya mencapai martabat tersebut. Demikianlah kasih sayang Allah yang ‘jarang’  kita peduli kerana sibuk berkeluh kesah. Bagaimana pula kita nak berhadapan dengan Kifarah ini? Sudah tentulah dengan bersungguh-sungguh memohon keampunan kepada Allah atas dosa-dosa yang kita sedari mahupun tidak.

AZAB..

            Mendengar perkataannya pun dah mendirikan bulu roma. Perkataan azab lazim disebut dalam AlQuran. Ia sebagai balasan yang dikenakan ke atas manusia yang berdosa di akhirat kelak. Ada azab yang ditangguhkan, ada azab yang diberi cash didunia lagi seperti azab yang menimpa kaum-kaum terdahulu kerana keingkaran mereka kepada Allah S.W.T. Sebagai hambanya yang sangat lemah, semoga Allah menjauhkan saya dan kita semua dari  azabNya. Memang kita tidak dapat lari dari dosa apatah lagi dosa yang tidak kita sedari. Tetapi, janganlah kita berterusan dalam melakukan sesuatu dosa dengan penuh sombong, angkuh, jauh dari taubat kerana bimbang dosa tersebut mendatangkan kemurkaan Allah seterusnya menimpakan azab ke atas diri kita. Ramai manusia hari ini di azab didunia lagi. Seperti anak yang derhaka kepada orang tua, hidupnya tidak berkat. Sempit dari rezeki dan ditimpakan kesusahan demi kesusahan. Berapa ramai orang kaya, yang kayanya kerana rasuah. Akhirnya terlantar dengan menghabiskan seluruh kekayaannya untuk mengubati penyakit yang ditimpakan. Azab-azab sebeginilah yang minta dijauhi atas diri dan keluarga.
            Betapa dalam hidup ini kita sentiasa mengharapkan taufiq dari Allah kerana taufiq itulah yang akan memandu kita kearah hidayahNya. Kadang-kadang apabila sedang melakukan dosa, taufiqNyalah yang akan menarik kita kembali berada di jalanNya dan semua itu tidak berlaku tanpa Rahmat dan kasih sayang Allah S.W.T. Bersamalah kita sentiasa memohon rahmat dan redha Allah agar dengannya kita diberi taufiq dan hidayah yang berterusan...Amin

Ya Allah…
Tiada kata yang dapat ku luahkan..
Untuk menggambarkan perasaanku..tika dan saat ini..
Jiwaku gelisah..rohku resah..
Mengapa Tuhanku?
Terasa diri ini sangat jauh denganMu
Apakah Kau tidak lagi menghiraukanku?

Wahai Tuhanku..
Aku tahu..aku terlalu banyak dosa
Sebanyak buih dilaut..sebanyak butiran pasir pantai..malah lebih lagi..
Namun..janganlah Kau palingkan wajahMu yang mulia dariku yang hina..
Kerana, hanya padaMulah tempatku mengadu..
Tempatku bergantung..hanya padaMu..

Wahai Tuhanku..
Kurniakanlah diriku ketenangan..
Suatu ketenangan yang pernah Kau kurniakan padaku
Suatu masa dahulu
Tika mana terasa diri mendapat perhatian dariMu
Tika mana ingatan dan rinduku begitu kuat padaMu
Tika mana terasa engkaulah segala-galanya bagiku..
Wahai Tuhanku..kurniakanlah..perkenankanlah..

Aku mengharapkan pengampunan dan redhaMu ya Allah..
Peliharalah diriku setiap saat dan ketika..
Dosa-dosaku adalah kerana lemahnya jiwaku..
Maka perkuatkanlah..
Kelalaianku adalah kerana jahilnya diriku..
Maka kurniakanlah ilmu..
Engkaulah tuhanku..
Cahaya di atas segala cahaya..
Yang menerangi mereka yang Engkau kehendaki
Maka terangilah jiwaku, hatiku dan rohku
Semoga redhaMU pada hidup dan matiku
Ya Allah..
Engkaulah cinta agungku...


Doakan saya...!- LailatunNur 82                                                                   

No comments:

Post a Comment