Sunday 2 December 2012

Antara BACA dan FAHAM

Alhamdulillah..

           Pagi tadi selepas subuh saya mengikuti kelas tafsir abah yang dihadiri oleh kami anak beranak. Kelas tafsir ni adalah yang kedua kali. Sebenarnya dah lama abah menyuarakan hasrat untuk mengadakan kelas tafsir bersama anak-anak..tapi masa mengumpulkan semua anak agak terhad. Jadi untuk melepaskan niat tersebut abah tetap menjalankan kelas tafsirnya dengan dihadiri oleh anak-anak yang sempat bersama.

          Untuk kali ini memandangkan saya bercuti sempena cuti sekolah, dapatlah saya mengikuti kelas tafsir abah. Setahun yang lalu, abah 'studi' tafsir sendirian je setiap selepas subuh. Abah tanya, kenapa hari ini kita hanya menyogok anak-anak, murid-murid atau sesiapa pun dengan membaca Al Quran sahaja tetapi tidak dengan memahaminya sekali. Abah kata lagi, pada umur 58 tahun ni baru abah rasa zu' atau ruh membaca Quran bila abah dapat memahami makna setiap baris ayat tersebut. Barulah terasa teruja setiap kali mendengar Imam mengalunkan ayat-ayat ketika solat berjemaah dan cuba menghayati maksud ayat tersebut. Solat bertambah khusyuk di samping perbendaharaan perkataan arab bertambah. Hmm..apa yang abah kata memang betul.

          Semasa saya di Darul Quran dahulu, kami wajib menghafal sekurang-kurangnya 5 muka surat sehari. Ia adalah sesuatu yang sukar sekiranya dilakukan tanpa memahami maksud ayat tersebut. Untuk memudahkan hafazan saya, saya akan memahami setiap makna ayat tersebut sebelum menghafalnya. Jadi, bila saya menghafal, ia akan jadi lebih mudah seolah-olah saya sedang bercakap dalam bahasa arab. Tapi, kaedah menghafal ni macam-macam. Terpulanglah kepada penghafaz untuk memilih cara masing-masing. Bagi saya, apa yang abah kata memang BETUL.

Pahala membaca dan menghayati

         Alangkah ruginya kalau kita hanya sekadar membaca. Betul..memang pahala membaca sahaja sudah sekian banyaknya. Dari Ibnu Mas'ud radhiallahu'anhu katanya: Rasulullah s.a.w bersabda:


“Barangsiapa yang membaca satu huruf dari kitabullah (al-Quran), maka ia memperoleh satu kebaikan, sedang satu kebaikan itu akan dibalas dengan sepuluh kali ganda seperti itu.  Aku tidak mengatakan bahawa ‘alif lam mim’ itu satu huruf, tetapi ‘alif’ adalah satu huruf, ‘lam’ satu huruf dan ‘mim’ juga satu huruf.”
                                                                                                                          (HR at-Tarmidzi)
Satu huruf sepuluh kebaikan! Tetapi, bukankah dengan menghayati makna-makna ayat tersebut akan membuatkan jiwa terserap dan hidup? Perumpamaan seorang suami menuliskan warkah romantis untuk si isteri, tapi dalam bahasa mandarin atau tamil? Adakah si isteri akan berbunga-bunga bahagia dengan kiriman tersebut berbanding sekiranya si isteri memahami seluruh bahasa jiwa yang diungkapkan oleh suami dalam ayat-ayat cintanya?

          Begitulah Al Quran. Mana mungkin kita takut jika hati tidak faham ancaman azab Allah. Mana mungkin kita menangis jika hati tidak faham kasih sayang dan rahmat Allah di dalamnya. Mana mungkin kita rindu jika hati tidak faham keindahan syurga dan kebahagiaan akhirat yang digambarkan. Tidak mungkin..tidak mungkin.

Mulakan..biar sikit tapi istiqamah

          Saya rasa saya juga perlu ikut jejak langkah abah. Dulu, saya hanya faham sikit-sikit untuk mudah menghafaz. InsyaAllah saya berazam untuk hafal secara konsisten pula. Mungkin tidak sehebat satu demi satu perkataan. Cukuplah kefahaman ayat agar bila ia terdengar di telinga atau terbaca secara lazim dalam solat, ia terbekas di jiwa dan memandu kekhusyukan. InsyaAllah..

          Ayuhlah bersama saya..jadikan membaca Quran sesuatu yang menyeronokkan. Jadikan amalan membaca Yasin atau bacaan surah-surah lazim ketika solat sesuatu yang mengujakan apabila kita faham maknanya. Faham maksud. Faham kisah-kisah disebaliknya..Subhanallah..

      

No comments:

Post a Comment