Thursday 13 December 2012

Ujian, Kifarah dan Azab



Hidup seharian kita ni malah di sepanjang kehidupan, tidak semua yang kita mahukan kita perolehi. Tidak semua pula yang kita perolehi tidak berhak diambil semula oleh yang Maha Mencipta dan Maha Memberi. Kehidupan kita sentiasa berlegar sekitarnya Ujian, Kifarah dan Azab.

UJIAN…

Ya Allah, beratnya UjianMu..
            
          Bersabarlah dan tetap dengan kesabaran itu ketika berhadapan dengan ujian Allah. Belajar untuk redha dan menerima kenyataan. Apakah ciri redha itu? Sudah tentulah dengan tidak mengeluh, positif dan terbuka, cuba keluar dari krisis dan mencari penyelesaian dengan pengharapan taufiq dan hidayah Allah. Bukankah setiap ujian yang diberikan sebagai tanda Allah sentiasa memerhatikan kita? Dan bukankah sepanjang hidup kita ini mahukan  perhatian dan pandangan rahmat dariNya? Kadang-kadang kita rasa hidup kitalah yang paling teruk, paling susah sedangkan jika kita memandang sedikit ke bawah, lebih ramai dan lebih hebat lagi ujian kesusahan yang menimpa orang lain berbanding kita. Sesekali Allah bagi sakit kepala penuh koyop ditampal nak tunjuk peningnya kita ye. Jarang orang yang sakit ni merasakan betapa pengampunan Allah begitu tidak terbatas sepanjang kita bersabar dengan ujian kesakitan yang diberi. Paling-paling, perkara pertama yang dicari adalah ubat dan doktor terbaik, betul tak?

“Ellehh.. senangla cakap..sabar..sabar..sabar. Tak kena batang hidung sendiri…”

            Begitulah suara-suara yang terdengar tatkala kita menyuarakan kesabaran. Bukankah dalam surah Al Asr Allah berfirman agar kita sentiasa berpesan dengan kesabaran?  Sesungguhnya orang yang sabar itu dicukupkan pahalanya tanpa batas seperti firman Allah dalam surah AzZumar?

            Jika kecemerlangan duniawi diukur melalui indikatornya, ISO, KPI dan segala macam alat, fungsi dan sistem..begitu juga dengan kecemerlangan akhirat. Diukur melalui sejauh mana kita melepasi ujian demi ujian yang dihadapi. Bukan sekadar melepasi bahkan terus, tetap dan sentiasa bersyukur, redha dan menerima.

KIFARAH..

            Kifarah pula adalah balasan Allah di dunia akibat dosa yang dilakukan oleh hamba-hambanya. Ia seakan satu ‘penebusan’ dan salah satu ujian dalam kehidupan yang mungkin melibatkan kematian, penyakit, kehilangan harta dan sebagainya bergantung kepada ketentuan qadha’ Ilahi. Saidatina Aishah ada berkata, bahawa baginda Rasulullah ada bersabda yang bermaksud:

“Tidak menimpa ke atas seorang mukmin satu kecelakaan, biarpun duri,ataupun  lebih daripada itu, melainkan Allah akan menggugurkan dengannya satu dosa.    
(Maksud hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Bila ditimpa sesuatu musibah, ia bukanlah bermakna Allah benci tetapi  Allah sebenarnya sedang mengangkat martabat hambaNya  ke maqam ditetapkan. Untuk membolehkan hamba tersebut sampai ke maqam tertentu, Allah akan mengujinya dan diberinya pula kesabaran agar kita sampai dan berjaya mencapai martabat tersebut. Demikianlah kasih sayang Allah yang ‘jarang’  kita peduli kerana sibuk berkeluh kesah. Bagaimana pula kita nak berhadapan dengan Kifarah ini? Sudah tentulah dengan bersungguh-sungguh memohon keampunan kepada Allah atas dosa-dosa yang kita sedari mahupun tidak.

AZAB..

            Mendengar perkataannya pun dah mendirikan bulu roma. Perkataan azab lazim disebut dalam AlQuran. Ia sebagai balasan yang dikenakan ke atas manusia yang berdosa di akhirat kelak. Ada azab yang ditangguhkan, ada azab yang diberi cash didunia lagi seperti azab yang menimpa kaum-kaum terdahulu kerana keingkaran mereka kepada Allah S.W.T. Sebagai hambanya yang sangat lemah, semoga Allah menjauhkan saya dan kita semua dari  azabNya. Memang kita tidak dapat lari dari dosa apatah lagi dosa yang tidak kita sedari. Tetapi, janganlah kita berterusan dalam melakukan sesuatu dosa dengan penuh sombong, angkuh, jauh dari taubat kerana bimbang dosa tersebut mendatangkan kemurkaan Allah seterusnya menimpakan azab ke atas diri kita. Ramai manusia hari ini di azab didunia lagi. Seperti anak yang derhaka kepada orang tua, hidupnya tidak berkat. Sempit dari rezeki dan ditimpakan kesusahan demi kesusahan. Berapa ramai orang kaya, yang kayanya kerana rasuah. Akhirnya terlantar dengan menghabiskan seluruh kekayaannya untuk mengubati penyakit yang ditimpakan. Azab-azab sebeginilah yang minta dijauhi atas diri dan keluarga.
            Betapa dalam hidup ini kita sentiasa mengharapkan taufiq dari Allah kerana taufiq itulah yang akan memandu kita kearah hidayahNya. Kadang-kadang apabila sedang melakukan dosa, taufiqNyalah yang akan menarik kita kembali berada di jalanNya dan semua itu tidak berlaku tanpa Rahmat dan kasih sayang Allah S.W.T. Bersamalah kita sentiasa memohon rahmat dan redha Allah agar dengannya kita diberi taufiq dan hidayah yang berterusan...Amin

Ya Allah…
Tiada kata yang dapat ku luahkan..
Untuk menggambarkan perasaanku..tika dan saat ini..
Jiwaku gelisah..rohku resah..
Mengapa Tuhanku?
Terasa diri ini sangat jauh denganMu
Apakah Kau tidak lagi menghiraukanku?

Wahai Tuhanku..
Aku tahu..aku terlalu banyak dosa
Sebanyak buih dilaut..sebanyak butiran pasir pantai..malah lebih lagi..
Namun..janganlah Kau palingkan wajahMu yang mulia dariku yang hina..
Kerana, hanya padaMulah tempatku mengadu..
Tempatku bergantung..hanya padaMu..

Wahai Tuhanku..
Kurniakanlah diriku ketenangan..
Suatu ketenangan yang pernah Kau kurniakan padaku
Suatu masa dahulu
Tika mana terasa diri mendapat perhatian dariMu
Tika mana ingatan dan rinduku begitu kuat padaMu
Tika mana terasa engkaulah segala-galanya bagiku..
Wahai Tuhanku..kurniakanlah..perkenankanlah..

Aku mengharapkan pengampunan dan redhaMu ya Allah..
Peliharalah diriku setiap saat dan ketika..
Dosa-dosaku adalah kerana lemahnya jiwaku..
Maka perkuatkanlah..
Kelalaianku adalah kerana jahilnya diriku..
Maka kurniakanlah ilmu..
Engkaulah tuhanku..
Cahaya di atas segala cahaya..
Yang menerangi mereka yang Engkau kehendaki
Maka terangilah jiwaku, hatiku dan rohku
Semoga redhaMU pada hidup dan matiku
Ya Allah..
Engkaulah cinta agungku...


Doakan saya...!- LailatunNur 82                                                                   

Friday 7 December 2012

Cerita Semalam



Adikku..
Usah menghitung pada sisa ilusi
usah tenggelam jauh dari daratan realiti
perjalanan kita masih jauh
sesat satu arah..bakal merubah sejuta haluan..

Adikku..
pandang ke hadapan
ada sesuatu yang lebih suci dan hakiki
dan..kita perlu selusurinya bersama
demi mencari realiti insani pada Ilahi

Biarkan kedunguan manusia itu berlalu
biarkan kasih mereka tidak berpadu untuk dirimu
kita wanita..mungkin tidak sehebat Rasulullah
sekurang-kurangnya bayang kita biarlah Siti Khadijah, Aisyah dan Fatimah..

Adikku..
Usah kalah lagi
biarkan cerita semalam berlalu bisu
kau bukan diciptakan untuk CINTA mereka
kita ada misi dan visi
yakinlah tiap janji Allah itu pasti
carilah damai dan tenangmu di dada MUNAJAT
moga kau temui apa sebenarnya yang dicari..

Tuesday 4 December 2012

IDOLA = BERHALA?


             Hari ini saya melihat betapa galaknya remaja, muda mudi bahkan kanak-kanak seusia 4 tahun mengangkat dan memuja sesuatu ikon yang mereka jadikan idola. Lihat sahajalah fenomena hari ini remaja dengan K-POP nya, kanak-kanak dengan fenomena kartun animasi pujaan masing-masing. Orang-orang veteran ada tak eh kegilaan seumpamanya? Saya pun tak tahu. Kadang-kadang saya cuba menyelami kegilaan anak-anak murid saya terhadap apa yang mereka jadikan sebagai idola atau ikon pada hari ini. Sangat sukar sebenarnya..Mungkin inilah kegilaan di zaman mereka. Saya terimbau pula kegilaan saya pada "zaman" saya dahulu. Apa agaknya ya..Ksatria Baja Hitam kot..hahaha..Itu je lah kegilaan saya dulu-dulu.

            Bezanya, saya tidaklah sampai menampal gambar penuh dalam almari, mengumpul koleksi poster majalah, meniru gaya pakaian (takkan nak pakai mcm KBH-contoh je), gaya rambut bahkan yang paling menyedihkan, ada yang sanggup berfantasi bersuami isterikan hero pujaan masing-masing. Aduh...parah rasanya.

            Kadang-kadang pening juga melayan kerenah anak-anak dengan beg 'Ben10' dan Barbienya. Baju Spiderman dan segala macam. Belum set alat tulisnya lagi. Kalau anak-anak murid pula, pada buku, fail dan kadang-kadang meja tulis habis semua ditampal dengan muka hero-hero korea yang jambu dan gebu tu.

             Sebenarnya terdetik rasa bimbang. Adakah sekadar minat atau memuja? Minat, mungkin boleh disamakan dengan suka. Banyak benda dalam dunia ni yang kita suka. Tetapi, bila sampai tahap memuja. Benarkah tindakan tersebut disisi agama? Saya tersentak melihat satu blog yang memaparkan pengertian IDOLA atau IKON yang sebenarnya berdasarkan kamus eletronik seperti yang saya paparkan. Mungkin ia sekadar pengertian dari segi bahasa. Tetapi jika di teliti seakan ada kebenaran dan kaitannya dengan ikon remaja hari ini. Ramai yang memuja persis masyarakat jahiliah yang memuja berhala dan 'keseronokan' jahiliah yang menjadi amalan mereka suatu masa dahulu. Tambahan pula dengan jelasnya kegilaan tersebut bercanggah dengan budaya dan cara hidup Islam yang sepatutnya. Kalau mengikut takrifan tersebut nampaknya tiada sesiapa yang boleh diangkat menjadi Idola dan ikutan. Bagaimana pula jika kita ingin mengangkat Rasulullah sebagai Idola agung seiring dengan firmanNya dalam surah Al Ahzab ayat 21 yang menyatakan sedemikian?



                      .... لَّقَدۡ كَانَ لَكُمۡ فِى رَسُولِ ٱللَّهِ أُسۡوَةٌ حَسَنَةٌ۬ لِّمَن كَانَ يَرۡجُواْ ٱللَّهَ وَٱلۡيَوۡمَ ٱلۡأَخِرَ

Tafsirnya:

"Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat.... "


       
                Bukankah ia lebih benar, wajar diikut dan dihidupkan? Sebenarnya saya mengingatkan diri saya. Kejahilan menyebabkan sukar untuk menjelmakan Qudwah Hasanah itu dalam diri. Terdedah kepada bahan-bahan negatif yang berlumba-lumba mengisi kekosongan jiwa sehingga ia beraja dan ber'berhala' dalam diri tanpa disedari. Kembalilah bertanya kepada diri, siapa pada hari ini yang kita jadikan contoh tauladan bagi memandu cara hidup ke arah yang diredhaiNya. Wajarkah mereka diangkat sedemikian rupa sedangkan kita sedar kegilaan itu sering membawa kita kepada kelalaian, jauh dari manfaat dan hampir pula kepada dosa.

       Kesimpulannya, besederhanalah dalam apa jua yang kita lakukan sekalipun hanya berkaitan minat dan kecenderungan. Sesungguhnya membina akhlak itu memerlukan latihan. Kita harus bijak meninggalkan perkara yang tiada kena mengena dengan kita sebagai seorang muslim. Yang tiada kena mengena itu tentulah perkara-perkara yang makruh apatah lagi haram disisi agama. Kalaulah ada vaksin yang boleh menghalang diri dari anasir-anasir negatif yang semakin bermaharajalela sudah tentu saya akan menyuntiknya. Tak mungkin ada kan? Ini adalah kerana vaksin sebenar adalah iman yang berakar dari Al Quran dan Sunnahnya....Apa khabar IMAN anda?

Sunday 2 December 2012

Kaktus Persahabatan


KAKTUS PERSAHABATAN

Kutinggalkan kaktus ini khusus untukmu..
dengan pesanan
ia mudah hidup
walaupun berhari-hari kau biarkan tuntas..
iakan tetap besar dan bercambah
kerana ia belajar bernafas dari gersang tanah

Asalkan..setiap kali kau melintasi
lemparkan senyumanmu disini
tahulah aku kau sayang padanya..

Kuhadiahkan kaktus yang masih kecil ini kepadamu
peliharalah dengan kemanjaan dan perhatian
berikan ia pasu baru bila tiba waktu
ia akan remaja dan dewasa
tajam durinya lambang kemurnian hatimu..

Sahabat..Kalau kaktus itu adalah aku
sudikah kau senyum dan tukarkan pasu
sedangkan kau tahu
duriku akan melukakan jarimu
lalu..tidak lagi kurasakan sentuhan..
yang tinggal..mungkinkah perhatian menjadi baja menyuburkan ingatan..

LailatunNur



Antara BACA dan FAHAM

Alhamdulillah..

           Pagi tadi selepas subuh saya mengikuti kelas tafsir abah yang dihadiri oleh kami anak beranak. Kelas tafsir ni adalah yang kedua kali. Sebenarnya dah lama abah menyuarakan hasrat untuk mengadakan kelas tafsir bersama anak-anak..tapi masa mengumpulkan semua anak agak terhad. Jadi untuk melepaskan niat tersebut abah tetap menjalankan kelas tafsirnya dengan dihadiri oleh anak-anak yang sempat bersama.

          Untuk kali ini memandangkan saya bercuti sempena cuti sekolah, dapatlah saya mengikuti kelas tafsir abah. Setahun yang lalu, abah 'studi' tafsir sendirian je setiap selepas subuh. Abah tanya, kenapa hari ini kita hanya menyogok anak-anak, murid-murid atau sesiapa pun dengan membaca Al Quran sahaja tetapi tidak dengan memahaminya sekali. Abah kata lagi, pada umur 58 tahun ni baru abah rasa zu' atau ruh membaca Quran bila abah dapat memahami makna setiap baris ayat tersebut. Barulah terasa teruja setiap kali mendengar Imam mengalunkan ayat-ayat ketika solat berjemaah dan cuba menghayati maksud ayat tersebut. Solat bertambah khusyuk di samping perbendaharaan perkataan arab bertambah. Hmm..apa yang abah kata memang betul.

          Semasa saya di Darul Quran dahulu, kami wajib menghafal sekurang-kurangnya 5 muka surat sehari. Ia adalah sesuatu yang sukar sekiranya dilakukan tanpa memahami maksud ayat tersebut. Untuk memudahkan hafazan saya, saya akan memahami setiap makna ayat tersebut sebelum menghafalnya. Jadi, bila saya menghafal, ia akan jadi lebih mudah seolah-olah saya sedang bercakap dalam bahasa arab. Tapi, kaedah menghafal ni macam-macam. Terpulanglah kepada penghafaz untuk memilih cara masing-masing. Bagi saya, apa yang abah kata memang BETUL.

Pahala membaca dan menghayati

         Alangkah ruginya kalau kita hanya sekadar membaca. Betul..memang pahala membaca sahaja sudah sekian banyaknya. Dari Ibnu Mas'ud radhiallahu'anhu katanya: Rasulullah s.a.w bersabda:


“Barangsiapa yang membaca satu huruf dari kitabullah (al-Quran), maka ia memperoleh satu kebaikan, sedang satu kebaikan itu akan dibalas dengan sepuluh kali ganda seperti itu.  Aku tidak mengatakan bahawa ‘alif lam mim’ itu satu huruf, tetapi ‘alif’ adalah satu huruf, ‘lam’ satu huruf dan ‘mim’ juga satu huruf.”
                                                                                                                          (HR at-Tarmidzi)
Satu huruf sepuluh kebaikan! Tetapi, bukankah dengan menghayati makna-makna ayat tersebut akan membuatkan jiwa terserap dan hidup? Perumpamaan seorang suami menuliskan warkah romantis untuk si isteri, tapi dalam bahasa mandarin atau tamil? Adakah si isteri akan berbunga-bunga bahagia dengan kiriman tersebut berbanding sekiranya si isteri memahami seluruh bahasa jiwa yang diungkapkan oleh suami dalam ayat-ayat cintanya?

          Begitulah Al Quran. Mana mungkin kita takut jika hati tidak faham ancaman azab Allah. Mana mungkin kita menangis jika hati tidak faham kasih sayang dan rahmat Allah di dalamnya. Mana mungkin kita rindu jika hati tidak faham keindahan syurga dan kebahagiaan akhirat yang digambarkan. Tidak mungkin..tidak mungkin.

Mulakan..biar sikit tapi istiqamah

          Saya rasa saya juga perlu ikut jejak langkah abah. Dulu, saya hanya faham sikit-sikit untuk mudah menghafaz. InsyaAllah saya berazam untuk hafal secara konsisten pula. Mungkin tidak sehebat satu demi satu perkataan. Cukuplah kefahaman ayat agar bila ia terdengar di telinga atau terbaca secara lazim dalam solat, ia terbekas di jiwa dan memandu kekhusyukan. InsyaAllah..

          Ayuhlah bersama saya..jadikan membaca Quran sesuatu yang menyeronokkan. Jadikan amalan membaca Yasin atau bacaan surah-surah lazim ketika solat sesuatu yang mengujakan apabila kita faham maknanya. Faham maksud. Faham kisah-kisah disebaliknya..Subhanallah..

      

Saturday 1 December 2012

Masih Ada Waktu

Assalamualaikum..

Salam ukhuwwah kepada semua. Sebenarnya saya baru mula buat blog ni. Saya tak berapa pandai dan boleh disifatkan sebagai buta IT juga. Ni tengah cuba-cuba la ni..Rasanya dah banyak kali cuba tapi dah namanya tak berapa nak pandai..kejap jadi kejap tak jadi hehehe...takpelah, sebagai permulaan sempena pertama kali ni, ingin saya kongsikan satu karya kepada sesiapalah yang menemui blog saya ni...

MASIH ADA WAKTU..

Sahabat..
Masih ada waktu untuk kau dan aku
Menghitung dosa-dosa lalu
Lantas membasuhnya kembali menyinar..
Menghiasi taman-taman kasih..

Masih ada waktu bagi kita
menghapus corang coreng mazmumah
dan mengutip kuntuman mahmudah
menghiasi kamar hidup ini

dan..
Masih ada waktu bagi kita
untuk memupuk kasih dan sayang
sekuntum cinta Ilahi
seagung CINTA yang murni...


Sekian...Menulis bukan kerna nama.....